Friday, April 23, 2010

Saya mohon undur diri

Saya mohon mengundur diri daripada jawatan YDP TERC berkuatkuasa 1 Mei 2010. Permohonan saya ini adalah disebabkan:
1. Saya akan ditawarkan jawatan Pensyarah di mana-mana IPG. Saya telah mengemukakan permohonan kepada Bahagian Pendidikan Guru dan berasa yakin akan berjaya. Sebagai pensyarah nanti sudah tentu saya tidak dapat memberi tumpuan kepada aktiviti Kelab.

2. Saya ingin melanjutkan pelajaran di peringkat PHD. Memang menjadi hasrat saya untuk menghabiskan pengajian saya sehingga peringkat PHD. Ini memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Dalam masa pengajian banyak perkara yang perlu dilakukan di samping tugas-tugas seharian sebagai pendidik. Antaranya perlu mentelaah banyak buku dan kajian-kajian yang lepas, membentang kertas kerja di seminar-seminar pendidikan, membuat kajian, menulis disertasi, menyiapkan thesis dan sebagainya.

Itulah dua sebab utama mengapa saya mahu mengundur diri. Saya yakin dua faktor ini dapat difahami oleh rakan-rakan dalam Kelab. Saya telah menghantar notis letak jawatan melalui sms kepada semua AJK.

Saya menyerahkan kepada Kelab untuk melantik YDP yang baru. Atau jika tiada pengganti harap NYDP dapat menjalankan tugas-tugas YDP dengan dibantu oleh semua AJK yang ada.

Saya yakin Kelab akan terus berjaya di bawah kepimpinan yang baru. Sepanjang saya menerajui Kelab, saya amat berpuas hati dengan segala yang telah dicapai.

Antara kejayaan Kelab ialah kita sudah ada sebuah kedai yang boleh dijadikan tempat untuk pelbagai aktiviti dan perjumpaan Kelab. Antara aktiviti yang pernah dijalankan di situ ialah mengadakan dua kali kempen derma darah, majlis sambutan tahun baru, sambutan kemerdekaan dan pelbagai lagi aktiviti yang dijalankan dari semasa ke semasa.
Untuk makluman semua, sewa kedai Kelab telah saya bayar sehingga bulan Disember 2010 dengan duit saya sendiri, tanpa mengusik satu sen pun duit Kelab. Segala kos ubahsuai Kedai juga telah saya bayar dan saya tidak akan menuntut apa-apa daripada Kelab.

Dari segi kewangan pula, kita telah dapat meningkatkan jumlah tabungan daripada sekitar RM2000 ke RM6000. Dengan jumlah ini Kelab dikira amat berjaya mengawal tabungan Kelab dan setiap ahli patut berbangga dengannya.

Kerjasama dengan kelab-kelab lain juga telah dapat dijalinkan dengan amat baik. Antaranya dengan rakan-rakan daripada LBC, TBC, MBC, Choppersgarage, Kemoja, Windstar dan sebagainya.
Saya tidak nampak kesan negatif jika ketiadaan saya. Saya mendoakan agar Kelab akan terus berjaya dan menjadi kebanggaan kepada setiap ahli.
Selamat maju jaya...
Hidup TERC....

No comments: