Showing posts with label mesyuarat. Show all posts
Showing posts with label mesyuarat. Show all posts

Tuesday, February 15, 2011

Majlis Tiga Dalam Satu


TERC telah mengadakan tiga majlis serentak pada hari Isnin 14 Februari 2011; iaitu sambutan ulangtahun kelima penubuhan TERC, sambutan Maulidur Rasul dan diikuti dengan Mesyuarat Agung Tahunan TERC kali yang kelima.


Majlis tersebut telah diadakan di Restoran Asam Pedas Kamunting bermula pukul 9.00 malam. Walaupun hujan agak lebat sebelum majlis bermula kehadiran boleh dikira memberangsangkan.


Majlis tersebut telah dihadiri seramai hampir 60 peserta terdiri daripada ahli lama dan baru bersama ahli keluarga. Ceramah Maulidur Rasul telah disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Haji Khairul Anuar bin Mohd Ali. Dalam ceramahnya, Ustaz Khairul telah menyeru ahli-ahli supaya mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam menjalani sebarang aktiviti. Dalam Islam kita sememangnya digalakkan bermusafir melihat dan memerhati kebesaran Allah. Semasa bermusafir jangan lupa tanggungjawab melaksanakan ibadah terutamanya solat. Rasulullah mengajar kita bagaimana Islam memudahkan amalan solat bagi orang yang bermusafir dengan kemudahan solat jamak dan qasar. Inilah perkara yang menjadi amalan selama ini dalam kelab TERC yang perlu dikekalkan supaya setiap aktiviti mendapat berkat. Ustaz Khairul mengakhiri ucapan dengan bacaan doa.


Selepas menikmati juadah nasi bersama asam pedas ikan tenggiri, ayam tandori dan daging salai masak lemak yang istimewa pada malam itu, majlis disambung lagi dengan Mesyuarat Agung Tahunan TERC kali yang kelima. Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Baharuddin Hashim selaku Yang DiPertua TERC berasa syukur kerana ramai ahli dapat hadir kali ini menunaikan tanggungjawab menjayakan mesyuarat agung. Beliau juga berasa bangga kerana beberapa ahli yang telah lama menghilangkan diri kini muncul kembali di dalam kelab dengan membawa bersama beberapa ahli baru. Dengan perkembangan terbaru ini diharap kelab akan bertambah maju.


Mesyuarat agung yang berakhir kira-kira jam 12.00 malam itu telah menghasilkan beberapa resolusi. Antaranya ialah pindaan perlembagaan tentang status keahlian kelab yang terbahagi kepada dua; iaitu Ahli Biasa untuk penunggang yang bermastautin dalam daerah Larut Matang dan Selama, manakala Ahli Bersekutu pula ialah yang tinggal di luar LMS. Mesyuarat juga telah memutuskan supaya barisan AJK merancang ekspedisi jarak jauh. Berkemungkinan pada tahun ini kelab akan ke Tanjung Piai, Johor.

Sunday, October 4, 2009

Mesyuarat letak kerja jamuan raya PakSu majid

Semalam kelab TERC bersama Larut Bikers Club telah mengadakan mesyuarat letak kerja bagi menjayakan program jamuan hari raya Aidil Fitri anjuran PakSu Majid, pemilik Nur Zetty Mee Udang, Changkat Jering, yang akan diadakan pada hari Selasa 6 Oktober 2009. PakSu Majid berharap amat-amat sangat agar dua kelab ini membantunya mengurus dan menjayakan program tersebut.

Antara keputusan mesyuarat yang sempat saya catatkan adalah seperti berikut:
1. Tugas marshall dan susunan motor/kereta akan diketuai oleh Sdr Pokku dengan dibantu oleh Sdr Rozi, Tok Wan, Zali, Abang Ramli dan MatKi.

2. Hidangan makanan yang dijangka terdiri daripada lemang, nasi, lauk-pauk, dan kepak ayam goreng akan diuruskan oleh Sdr Beb, Man dan Megat. Hidangan satay sebanyak seribu cucuk pula akan ditaja oleh Sdr Ariffin. Tugas mencedok makanan diserahkan kepada para isteri bikers dengan diketuai oleh Puan Maznah.

3. Barisan penyambut tetamu akan diketuai oleh PakSu Majid sendiri dengan dibantu oleh Presiden TERC, Presiden LBC, Abang Ramli, Sdr Aznan, Sdr Nana dan PakTeh Zaini.

4. Sistem pembesar suara dan DJ akan diuruskan oleh Abang Ramli dan Sdr Nana.

5. Aturcara program bergantung kepada keadaan semasa dan dijangka bermula jam 8.00 malam berakhir 12.00 malam. Majlis dimulai dengan bacaan doa yang akan diketuai oleh imam kampung.

6. Setiap kelab yang berkunjung akan dihadiahkan dengan sehelai pendant yang bertulis “Dengan ingatan tulus ikhlas daripada Nur Zetty Mee Udang, Changkat Jering, bersama Taiping Easy Riders Club dan Larut Bikers Club.”

7. Sdr Amer dan PakTeh Zaini akan menghubungi pihak akhbar (Majalah Roda-Roda dan Harian Sinar) untuk publisiti. Rakaman video pula akan diserahkan kepada Sdr Bashah.

8. Sdr Jeff akan membuat tempahan pendant dan banner dengan susunkata yang akan direka oleh cikgu Bahar.

Khidmat ahli-ahli lain yang tidak tersenarai di atas tetap diperlukan. Tolonglah apa yang patut nanti. Sekurang-kurangnya penyertaan anda dapat memeriahkan lagi majlis di samping turut meraikan bikers yang hadir.
Dengan kesempatan ini saya suka menjemput semua bikers tak kira jauh atau dekat, marilah kita sama-sama hadir ke rumah terbuka PakSu Majid ini nanti.. Datang, jangan tak datang..