Sunday, April 5, 2009

Aluan YDP TERC

Berikut ialah kata-kata aluan Yang Di Pertua dalam buku program Hari Keluarga "Tetap Setia" yang diadakan pada 5 April 2009, Ahad jam 3.00 petang di rumah YDP TERC:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita berkumpul dalam suasana aman dan harmoni sebagai sebuah keluarga. Saya mengalu-alukan kehadiran anda semua ke majlis ini.
Kekuatan dan kejayaan sesebuah pertubuhan bergantung penuh kepada ahli-ahlinya. Majlis Hari Keluarga TERC 2009 yang kita namakan “Tetap Setia” ini diadakan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama ahli Kelab. Di samping itu kita juga menjalinkan hubungan dengan pertubuhan lain dan juga masyarakat di sekitar.
Pada tahun 2008, Kelab telah berjaya mengadakan beberapa program besar, antaranya ialah Program “Setitis Darah Merdeka”, iaitu kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma sempena sambutan kemerdekaan pada 17 Ogos 2008, dan Konvoy ke Melaka dan Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 Disember 2008. Selain itu Kelab juga berjaya mendapat sewa premis MPT yang terletak di no. 10, Gerai Seri Kota untuk dijadikan Pusat Aktiviti Kelab.
Pada tahun 2009 ini kita berharap banyak lagi aktiviti dapat dijalankan yang berbentuk khidmat sosial bukan sahaja untuk kebaikan ahli malahan juga kepada masyarakat lain.
Marilah kita sama-sama kenal-mengenali, berbaik sangka, bekerjasama, serta mengeratkan lagi persahabatan, bak kata pepatah bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Saya amat berharap ahli-ahli TERC terus setia, menjaga nama baik Kelab dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam semua aktiviti.

No comments: