Tuesday, February 15, 2011

Majlis Tiga Dalam Satu


TERC telah mengadakan tiga majlis serentak pada hari Isnin 14 Februari 2011; iaitu sambutan ulangtahun kelima penubuhan TERC, sambutan Maulidur Rasul dan diikuti dengan Mesyuarat Agung Tahunan TERC kali yang kelima.


Majlis tersebut telah diadakan di Restoran Asam Pedas Kamunting bermula pukul 9.00 malam. Walaupun hujan agak lebat sebelum majlis bermula kehadiran boleh dikira memberangsangkan.


Majlis tersebut telah dihadiri seramai hampir 60 peserta terdiri daripada ahli lama dan baru bersama ahli keluarga. Ceramah Maulidur Rasul telah disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Haji Khairul Anuar bin Mohd Ali. Dalam ceramahnya, Ustaz Khairul telah menyeru ahli-ahli supaya mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam menjalani sebarang aktiviti. Dalam Islam kita sememangnya digalakkan bermusafir melihat dan memerhati kebesaran Allah. Semasa bermusafir jangan lupa tanggungjawab melaksanakan ibadah terutamanya solat. Rasulullah mengajar kita bagaimana Islam memudahkan amalan solat bagi orang yang bermusafir dengan kemudahan solat jamak dan qasar. Inilah perkara yang menjadi amalan selama ini dalam kelab TERC yang perlu dikekalkan supaya setiap aktiviti mendapat berkat. Ustaz Khairul mengakhiri ucapan dengan bacaan doa.


Selepas menikmati juadah nasi bersama asam pedas ikan tenggiri, ayam tandori dan daging salai masak lemak yang istimewa pada malam itu, majlis disambung lagi dengan Mesyuarat Agung Tahunan TERC kali yang kelima. Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Baharuddin Hashim selaku Yang DiPertua TERC berasa syukur kerana ramai ahli dapat hadir kali ini menunaikan tanggungjawab menjayakan mesyuarat agung. Beliau juga berasa bangga kerana beberapa ahli yang telah lama menghilangkan diri kini muncul kembali di dalam kelab dengan membawa bersama beberapa ahli baru. Dengan perkembangan terbaru ini diharap kelab akan bertambah maju.


Mesyuarat agung yang berakhir kira-kira jam 12.00 malam itu telah menghasilkan beberapa resolusi. Antaranya ialah pindaan perlembagaan tentang status keahlian kelab yang terbahagi kepada dua; iaitu Ahli Biasa untuk penunggang yang bermastautin dalam daerah Larut Matang dan Selama, manakala Ahli Bersekutu pula ialah yang tinggal di luar LMS. Mesyuarat juga telah memutuskan supaya barisan AJK merancang ekspedisi jarak jauh. Berkemungkinan pada tahun ini kelab akan ke Tanjung Piai, Johor.